Powered By Blogger

Monday, November 8, 2010

POLITIK DALAM ISLAM

Isu Suruhanjaya Antara Agama ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada semangat setiakawan di antara pelbagai kaum dinegara ini. sebenarnya, kepemimpinan Islam sedia mengiktiraf akan kewujudan masyarakat bukan Islam selaras dengan fitrah kejadian manusia bahawa mereka dijadikan Allah SWT dalam keadaan berbilang bangsa, agama, keturunan dan warna kulit. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat ke -13, yang bermaksud :

      "Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada kalangan lelaki  dan perempuan; dan Kami jadikan kamu berbangsa- bangsa dan berpuak-puak dengan tujuan untuk saling mengenali; sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah adalah mereka yang paling bertakwa."

     Semangat setiakawan itu wajar diterjemahkan menerusi amalan syura dan rundingan yang sememangnya menjadi teras kepada sistem politik Islam. Konsep syura ini mestilah diamalkan dengan penuh ketelitian dan kebijaksanaan serta kefahaman yang mendalam mengenainya supaya keadilan dalam sebuah masyarakat majmuk dimalaysia dapat diwujudkan. Allah SWT membuat perintah ini menerusi firmannya dalam surah Ali Imran, ayat ke-159, yang bermaksud:

      " Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan..."

        Demi kesejahteraan ummah dan masyarakat keseluruhannya, umat Islam dianjurkan supaya menjalankan apa yang diesebutkan sebagai 'urusan' dalam firman tadi, yang merangkumi segala aspek kehidupan. Perkara terpenting dalam konteks ini ialah memahami akan realiti dan hakikat kewujudan pelbagai agama dan kaum, yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam itu sendiri. Inilah sikap sederhana dan terbuka yang kita amalkan selama ini dalam bidang-bidang ekonomi, budaya, sosial dan politik.

       Dengan kepemimpinan yang diterajuai oleh Islam, negara ini menjadi model pengurusan kehidupan pelbagai etnik dan anutan agama. Semangat perlembagaan Madinah dicerna sebagai landasan pemerintahan yang berteraskan permuafakatan dan persetiaan dalam usaha membina masyarakat majmuk yang bersatu padu. Ia terbit daripada permuafakatan yang diasaskan dan diamalkan oleh kepemimpinan kerajaan sejak dahulu, yang terbukti membawa kepada kesejahteraan rakyatnya.

       Rasulullah membentuk kerajaan Madinah dengan meletakkan penganut agama Islam dan kaum Arab yang bukan Islam serta kaum Yahudi di bawah suatu pemerintahan Islam. Ia ada persamaannya dengan proses yang berlaku di negara ini apabila kemerdekaan dicapai secara muafakat antara rakyat berbilang kaumdan agama. Semangat ini diterjemahkan dalam perlembagaan negara serta dipegang sehingga ke hari ini. Ia membolehkan semua pihak hidup aman damai.

         Pendekatan ini menepati siyasah syar'iyah yang dilaksanakan bagi mengatur kepentingan rakyat dan menguruskan pentadbiran negara. Ini bertepatan dengan kaedah fikah yang menyebut bahawa tindakan pemerintahan dalam mengatur hal ehwal rakyat hendaklah disandarkan kepada maslahah.

         Daripada contoh-contoh ini, terbuktilah bahawa politik adalah suatu kaedah penting bagi membangunkan ummah. Oleh itu, penganut Islam perlu sentiasa berusaha meningkatkan perpaduan ummah yang berasaskan persaudaraan Islam dengan mengetepikan kepentingan peribadi, suku, puak, darjat, perbezaan politik dan sebagainya.

         Perpecahan ummah akan hanya mengundang malapetaka. Umat Islam akan kehilangan nikmat kemakmuran, maruah, kekuatan, pengaruh, dan akhirnya akan meruntuhkan tamadun itu sendiri. Dalam hal ini, Allah SWT memberi amaranNya menerusi surah an-Anfal, ayat ke-46, yang bermaksud:

        "Dan janganlah kamu berpecah- belah, kelak kamu akan lemah dan hilang kekuatan."

         Kepentingan perpaduan umat Islam telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam mengasaskan pembentukan negara Madinah dengan terlebih dahulu mengukuhkan persaudaraan di antara golongan Muhajirin dan Ansar. Perpaduan ini adalah titik tolak kepada penyatuan penduduk Madinah yang berjaya mewujudkan kestabilan politik dan masyarakat yang seterusnya memudahkan pertumbuhan ekonomi.

        Jelaslah bahawa politik adalah sebahagian daripada Islam. Politik tetap penting untuk kesejahteraan ummah, dan ia juga adalah wadah untuk memastikan kesinambungan kuasa dan pemerintahan umat Islam di samping mengangkat martabat Islam itu sendiri.

No comments:

Post a Comment